Kenduri Kahwin IM Hassan
Cerita pekahwinan IM Hassan masih lagi panas … buktinya banyak search yang mencari keyword Perkahwinan Imam Muda Hassan. Saya percaya kebanyakkan search bukan mencari maklumat perkahwinan IM Hassan dengan Ulfah yang telah berlangsung pada bulan lepas tetapi ingin tahu tentang majlis menyambut menantu atau kenduri di pihak lelaki. Buat kat kampung ke atau buat kat KL? Soalan cepu cemas !!!!
MANJUNG2U sempat menghubungi keluarga IM Hassan bertanyakan tarikh majlis kenduri tersebut untuk makluman semua. Alhamdulillah, maklumat yang sahih menyatakan bahawa kenduri IM Hassan akan diadakan di rumah keluarga beliau sendiri di Kg. Sungai Wangi, Ayer Tawar, Perak pada 31 April 2012 (sabtu).
“Alhamdulillah, majlis kenduri IM Hassan kami buat secara kecil-kecilan sahaja dengan menjemput orang kampung, saudara mara dan rakan-rakan. Bagi makcik kenduri kali ini sama sahaja macam kenduri yang lepas-lepas. Tidak ada bezanya.”, ujar Hajah Arpah, ibu IM Hassan, apabila diaju soalan tentang persiapan majlis kenduri tersebut.

Saya juga sempat meninjau-ninjau sekitar rumah IM Hassan. Semuanya nampak teratur dan sedia untuk majlis tersebut. Kayu api sudah dipotong dan disusun. Halaman rumah sudah kemas dibersihkan. Pokok rambutan rendang sudah dicantas. Kita doakan semoga majlis kenduri IM Hassan yang bakal diadakan pada hujung bulan ini berjalan lancar.
