10 Ikon Pelancongan Perak
1. Antara tindakan yang dirancang dan dilaksanakan oleh bahagian pelancongan kerajaan negeri ialah membahagikan bahagian negeri kepada 6 (enam) kluster sebagai usaha dan strategi sempena Tahun Melawat Perak 2012 (TMP).
2. Kesemua kluster pelancongan tersebut akan dipromosi dalam risalah yang meliputi jejak warisan, pelancongan dan alam sekitar merangkumi info tentang destinasi menarik (point of interest), makanan, tempat tinggal dan pengangkutan. Enam Kluster pelancongan tersebut adalah seperti berikut :
i. Ipoh (Gopeng, Batu Gajah, Kampar)
ii. Taiping (Matang, Kuala Gula, Kuala Sepetang, Larut)
iii. Kuala Kangsar (Sungai Siput)
iv. Royal Belum (Lenggong)
v. Pulau Pangkor (Lumut)
vi. Teluk Intan (Kampung Gajah, Perak Tengah).
3. 10 ikon pelancongan juga telah dipilih dan di”gazette”kan sebagai simbol pelancongan negeri Perak seperti berikut ;
i. Taman Negeri Royal Belum (Hulu Perak)
ii. Hutan Paya Laut Matang (Larut, Matang Selama)
iii. Gua Tempurung (Kampar)
iv. Taman Herba Negeri Perak (Kinta)
v. Sungai Klah Hotsprings Park (Tapah)
vi. Pulau Orang Utan, Bukit Merah Laketown Resort (Kerian)
vii. Zoo Taiping & Night Safari (Larut, Matang Selama)
vii. Ipoh – The Limestone Wonder (Kinta)
ix. Lumut & Pulau Pangkor (Seri Manjung)
x. Kuala Kangsar Bandar Diraja (Kuala Kangsar)
4. Sebagai rakyat negeri Perak, saya amat gembira kerana tahun 2012 diangkat sebagai TMP. Kedatangan pelancong sama ada dari dalam atau luar negeri/negara sedikit sebanyak mampu memberikan pulangan lebih (ekonomi) kepada para peniaga.
5. Satu ketika dahulu sewaktu saya bertugas di Pasir Salak, Kg. Gajah, saya pernah ditanya oleh seorang Pak Cik di sebuah kedai kopi, “Mike tau tak anak dara mana paling garang nak buat bini?”. Saya geleng kepala. “Anak dara negeri Perak. Cuba mike tengok dan kaji kenapa pakaian tradisi perempuan negeri perak pakai seluar. Haa…senang nak berlawan dan buka langkah silat”, ujar Pak Cik tersebut bersahaja.
Puteri Perak : Pakaian Tradisi Wanita Perak
6. Garang benor ke orang Perak? Pemberontakan menentang penjajah di Tanah Melayu bermula di negeri Perak apabila JWW Birch dibunuh di Pasir Salak. Pernah dengar lagu Os (Juara MLM OSBON) bertajuk Musim Durian
klik sini untuk tonton . Antara liriknya,
“Bila musim durian, deme mula bengkeng, jangan silap sikit nanti deme tengking. Kalau musim durian, ramai berani nampor (menampar), apa deme nak heran, zaman boleh bayor “ … kelakar tetapi ada kebenarannya sedikit sebanyak.
7. Saya percaya bahawa masih banyak lagi keunikan yang ada di negeri Perak untuk di explore dan bukan hanya terhad 10 ikon di atas sahaja. Pasir Salak dan Beruas merupakan satu lokasi menarik untuk dilawati bagi peminat sejarah, bagi peminat kraf labu Sayong mungkin anda perlu ke Kg Kepala Bendang untuk mencari cerita sejarah asal industri tersebut di Kuala Kangsar. Setakat hendak beli labu Sayong anda tidak perlu datang sampai ke Kuala Kangsar…di Kuala Lumpur pun banyak. Anda mungkin boleh singgah di Titi Gantung/Bota menikmati pelbagai jenis bubur yang dikenali sebagai Bubur Perak dan macam-macam lagi.
8. Saya juga dalam projek menghasilkan klip video lokasi-lokasi menarik di negeri Perak untuk dikongsi bersama sebagai tanda sokongan TMP 2012. Beberapa lokasi sudah dalam timeline editing saya seperti Kuala Kangsar dan juga Lumut. Bagaimanapun, saya memerlukan penaja untuk menghasilkan klip-klip video tersebut. Sekiranya anda berminat untuk manaja, sila hubungi saya di talian 017.222.7354 atau email kepada elmuchtar [a] gmail.com
9. MANJUNG2U juga mengalu-alukan sebarang perkongsian maklumat mengenai lokasi dan juga tempat-tempat menarik di negeri Perak yang jarang diketahui orang ramai. Butiran point of interest lengkap bersama GPS koordinat amatlah dihargai.
Boleh kongsi di sini.
Leave a reply